Monday, April 15, 2013

Hari Keluarga 2013





Alhamdulillah, sebagaimana yang dirancang, tahun ini dapat kami mengadakan hari keluarga kali yang pertama untuk tahun ini. Lokasinya ialah di Air Papan Beach Resort, Mersing selama 3H2M. Kami checkin hari Sabtu 23 Mac 2013 dan checkout balik ke destinasi masing-masing pada Isnin 25 Mac 2013. Untuk kali ini hanya 6 keluarga  saja yang dapat kelapangan masa bersama-sama di Air Papan ini. Tetapi dengan kehadiran anak-anak, menantu-menantu serta cucu-cucu masing membuatnya lebih meriah. Keluarga yang hadir :-

1. Dari Segamat                   - Keluarga Hj Md Hanapiah, Isteri & anak                         - 3 orang
2. Dari Taman Skudai Baru  - Keluarga Pn Azizah, anak,menantu serta cucu                  - 7 orang                 
3. Dari Bandar Baru Uda     - Keluarga Hjh Jamalimah, anak & menantu                        - 5 orang
4. Dari Tmn Mas Jaya Muar -Keluarga Rashidah & suami                                              - 2 orang
5. Dari Tmn Harmoni Muar   -Keluarga Zulkarnain, Isteri & anak                                   - 9 orang
6. Dari Bentong Pahang        - Keluarga En Hamid, Isteri, anak & menantu                     - 4 orang


Bilek penginapan yang serba lengkap dan memuaskan. Kolam renang yang berdekatan 
dengan bilek dan laut cina selatan terdampar luas dihadapan hotel ini, memudahkan kami
 untuk  mandi-manda apabila suka.


Malam pertama kami makan malam di Restoran Seafood " Brother Joe" diBandar Mersing. 
Makanannya sedap dan menyelerakan.



Penganjur ada juga menyediakan sukaneka di pantai. Meriah dan sangat mengelikan hati
 melihat gelagat peserta sukaneka dengan keletah masing-masing.


Selepas penat bersukaneka dan mandi laut, makan tengahari beramai-ramai secara buffet. Amat menyelerakan kerana makan berkumpul beramai-ramai dengan keletah anak-anak dan cucu.


Juruacara Majlis bidan terjun, Ashid mengelolakan acara pembahagian hadiah sukaneka
 dan cabutan bilek bertuah.


Pemenang pertama Sukaneka acara lumba lari kaki tiga - Hj Md Hanapiah & Syukri



Pemenang pertama sukaneka acara mencari barang tersembunyi - Azreen



Pemenang pertama sukaneka acara Membaling belon berisi air - Pasangan Zanariah & suaminya


Pemenang pertama sukaneka acara mengisi air dalam botol - Pasangan Akim & Isterinya.


Ada juga sesi bertukar-tukar cenderahati untuk semua ketua-ketua keluarga.


Pemenang cabutan nombor bilek bertuah - Penghuni bilek 34 - Keluarga Hj Md Hanapiah


Berkumpul ramai-ramai sebelum meninggalkan hotel bergambar untuk kenangan


Sebelum meninggalkan Mersing tidak sah ke kilang Keropok untuk membeli belah - Keropok Lekor


Syukur alhamdullillah, semuanya berjalan dengan lancar dan teratur. Mudah-mudahan kami akan berkumpul lagi seperti ini ditahun hadapan dilokasi yang berlainan dengan lebih meriah lagi dan bertambah lagi keluarga Hj Mohd Tahir dapat menyertainya. In Sya Allah.

Terima kasih juga diucapkan kepada Azreen dan Isterinya, Nani yang bertindak sebagai Penganjur dan urusetia untuk tahun ini. Semoga kerja yang baik ini akan diteruskan lagi.

Amin Amin Amin......Ya Rabbal 'aalamin.




Thursday, December 27, 2012

Syukur pada Illahi



Alhamdullillah...Bersyukur kehadrat Illahi kerana dipanjangkan umur dengan iman, murah rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. 

30 Nov 2012 - Sambutan sederhana diadakan di rumah Noor Azalina
di Bandar Baru Bangi meraikan ulang tahun ibunya.
Jamuan ala-ala hari raya, ketupat, lodeh, sambal kacang dan rendang ayam.

01 Dis 2012 - Tengaharinya menghadiri Majlis kenduri kahwin anak sepupu sebelah arwah abah,
Pn Kintan Mohd Lani, di Taman Prima Saujana, kajang.


01 Dis 2012 - Petangnya ke Majlis persandingan cucu jiran lama Taman Soga, BP,
 Pn Hjh Sapurah Salam di Dewan  Komuniti Bandar Manjalara.



01 Dis 2012 - Sebelah malamnya giliran Noor Azalina dan Azamuddin
 meraikan ibunya makan malam di Toowoomba Deli & Meat, Setapak.
Restoren makanan daging segar dari Australia. Dah tentu kambing grill.



02 Dis 2012 - Jumpa sahabat karib dari Segamat, sama-sama dah pencen ,
 Hj Amer dan keluarga. Ajak bersembang-sembang dan makan malam di Restoren Saba' Cyberjaya.
 Apa lagi pekena Nasi Arab. Kambing lagi.......


Secara kebetulan ini kereta baru menggunakan No pendaftaran kereta lama JGH9977.
Terima pada  hari Jumaat, 30/11/12 . Konon-kononnya tukar kereta laa.......
Ini pun macam hadiah hari ulang tahun kelahiran isteri saya.


Semoga Allah murahkan rezeki kami sekeluarga. Aamiin.........



Wednesday, December 26, 2012

Hari Graduasi MRSM AG



Setiap tahun telah menjadi tradisi MRSM memberi penganugerahan pada semua pelajar-pelajar yang tamat pengajian dengan  jayanya, mendapat keputusan pepriksaan yang cemerlang dan memperolehi PNG yang ditetapkan. Mereka diraikan pada Majlis Graduasi yang terdiri dari pelajar-pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 5. Kali ini MRSM Alor Gajah telah mengadakannya bagi kali yang ke-5 pada 24 Oktober 2012. 


Majlis disempurnakan oleh Y Bhg Datuk Prof Dr Mohd Ruddin Bin Ab Ghani, Professor Fakulti Kejuruteraan Eletrik, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).


Muhammad Syukri menerima Folder Sijil dari Y Bhg Datuk 
Prof Dr Mohd Ruddin Ab Ghani


Para pelajar duduk diruang yang ditetapkan menunggu giliran masing-masing.


 Ibu dan Anak


Second Class (Upper) - PNG 3.06

Syukur Alhamdullillah, itulah pencapaian yang diperolehi  Muhammad Syukri sepanjang 2 tahun  di MRSM Alor gajah di Tingkatan 4 dan 5 (2011 - 2012).

Selepas ini kami menunggu pula keputusan SPMnya pula. Doakan agar dia mendapat keputusan yang baik agar dapat meneruskan pembelajarannya ke perengkat yang lebih tinggi. Inn sya Allah.

Wednesday, November 14, 2012

Renung Renungkan





Sempena Hari Diabetic Sedunia 14 November setiap tahun, bagi pembaca-pembaca blog ini yang mungkin ada penyakit diabetis renung renungkanlah panduan dan nasihat diatas. Semoga kita semua dapat menjalani keadaan hidup seharian yang sihat.

 Ammiin........



Tuesday, October 9, 2012

Hikmah & Pengertian Ibadah Qurban



Bulan Zulhijjah bakal tiba. Peluang untuk berqurban datang lagi. Amalan yang bukan sahaja disukai, malah dicintai oleh Allah SWT, sepertimana yang disabdakan dalam Hadis Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim.


       " Tidak ada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT  daripada Bani Adam ketika Hari
          Raya Edul Adha selain menyembelih haiwan qurban".


Gambar Hiasan - Lembu lembu untuk Qurban


Hikmah-Hikmah Ibadah Qurban
  • Melatih diri sanggup berkorban untuk perkara kebaikan.
  • Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak.
  • Tanda kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah.
  • Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.
  • Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.
  • Menggembirakan fakir miskin dengan pemberian daging Qurban.
  • Merapatkan silaturrahim di kalangan umat islam. 
Pengertian Ibadah Qurban

Qurban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki empat (Al-An'am) pada hari  Raya Eidul Adha atau hari-hari tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah. Hukum  Ibadah Qurban adalah sunat muakkad bagi yang mampu dan wajib bagi yang bernazar. Ibadah Qurban bermula selepas naik matahari  sekadar cukup untuk solat 2 raka'at dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah. 


          " Barangsiapa yang mempunyai  kemampuan tetapi tidak berqurban, maka
            janganlah ia menghampiri tempat solat kami". 
           ( Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)


Ibadah buat kita, kegembiraan buat mereka. Selamat menjalankan Ibadah qurban. Semoga Ibadah Qurban kita mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.


Sumber rujukan : IKRAM

Tuesday, September 25, 2012

Teluk Intan - 2H1M




Mercu Tanda Teluk Intan 




Menara Condong  adalah menjadi mercu tanda bagi Bandar Teluk Intan didalam daerah Hilir Perak ini. Walaupun telah dibina 127 tahun yang lampau tapi masih utuh dan tersergam indah. Boleh dikatakan setiap pengunjung akan mengambil peluang menaiki menara ini dan bergambar sebagai kenangan.





Bergambar kenangan di Menara Condong Teluk Intan.

Keadaan bilek dan suasana persekitaran Rumah Rehat MPTI



Menjamu selera di Wana Cafe

Rumah Rehat MPTI  adalah tempat penginapan rombongan kami sepanjang berada di Teluk Intan. Sungguh  selesa walaupun telah lama beroperasi, tapi masih dijaga dengan rapi dan harga bileknya berpatutan. Kami sampai lebih kurang jam 3 petang. Check-in bilek dan jamuan ringan petang  disediakan di Cafe. Amat menyelerakan kerana perut lapar setelah jauh perjalanan  berkereta dari destinasi masing-masing.



Majlis nikah di Surau Taman Melur Teluk Intan

Inilah tujuan kami sebenarnya ke Teluk Intan. Mengiring dan memberi sokongan moral pada anak saudara kami Azmeer Azman yang mendapat jodohnya disini. Majlis nikah dijalankan di Surau Taman Melur selepas solat Isyak. Alhamdullillah semuanya berjalan dengan lancar.




Rombongan kami dari Johor Bahru, Pontian, Segamat, Muar, Selangor, Kuala Lumpur dan Sg Sumun. Lebih kurang 15 buah kenderaan semuanya. Majlis persandingan diadakan di Dewan Orang Ramai  Kg Bahagia Teluk Intan.





          Ya Allah, Satukan hati kedua mempelai ini dengan iman, keyakinan dan tawakal kepada Mu. Jadikanlah mereka suami yang soleh dan isteri solehah yang sentiasa membantu. Murahkan rezeki mereka dan kurniakanlah mereka zuriat yang beriman dan beramal soleh. Semoga kehidupan mereka dipenuhi Al Mawaddah dan Al Rahmah didunia dan di Akhirat.

    Aaamiiin..........

Sunday, September 2, 2012

Suasana Syawal 1433H



1 SYAWAL




Tahun ini bertambah seorang lagi dalam keluarga saya. Seorang cucu pertama Muhammad Alif Muhaimin berumur baru 5 bulan.



Sekembalinya dari solat sunat Aidilfitri tahlil dan doa selamat dibacakan kami anak beranak sebelum menjamah juadah hari raya. Sebelum itu selepas solat subuh kami bertakbir dan bermaaf - maafan sebelum  ke masjid untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri..


2 SYAWAL


Telah menjadi tradisi di Kg arwah abah sejak berpuluh tahun, penduduk Kg Dato' Bentara Luar, Jalan Temenggong Ahmad, Muar  akan bermarhaban dari rumah ke rumah pada 2 Syawal mulai jam 8 pagi. Seperti lazimnya kami adik beradik akan menyertainya. Walaupun kedua-duanya telah tiada kami adik beradik tetap akan berkumpul dirumah pesaka ini untuk meneruskan aktiviti marhaban ini.


Selepas solat zohor, kami adik beradik serta anak cucu mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil. Dari 12 orang adik beradik semuanya, 8 yang masih hidup. Tetapi kehadiran anak-anak, cucu-cucu serta ipar duai memeriahkan lagi perhimpunan keluarga ini. Korum ini jugalah kami gunakan untuk berbincang hal hal berkaitan keluarga dan selepas itu saling bersalaman dan bermaafan sesama kami adik beradik dan keluarga masing-masing.


3 SYAWAL




Kelazimannya ziarah kubur di Bt 6 Bakri, Muar dilakukan pada hari raya pertama. Tetapi sejak akhir-akhir ini kami lakukan mengikut kesusuaian masa dan keadaan. Tahun ini hari ketiga syawal baru dapat dilakukan. Di perkuburan ini ada 6 kubur untuk diziarahi. Kubur arwah atuk yah (emak arwah abah), arwah abah, mak, kakak Ramlah, adik Tajudin dan adik Saadiah. Seorang lagi adik saya jasadnya dikebumikan di perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru.






Selepas itu kami ke Taman Mas Jaya Parit Setongkat rumah Adnan & Ashid. Ada majlis rumah terbuka. Jamuan utama adalah BBQ  daging kambing, lembu, ayam dan ikan. Makanan lain ialah sup tulang, nasi putih, sambal sotong dan sayuran. Sungguh menyelerakan ........ Disamping menjamu selera ia dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga.

Insya Allah semoga perhimpunan keluarga di Muar ini berkekalan setiap tahun. 

Aamiin...................