Saturday, August 6, 2011

Zakat


Makna Zakat

Dari segi Bahasa: 
Zakat bererti bersih dan suci. Ia membawa makna pembersihan dan kesuburan, kerana dengan mengeluarkan zakat, maka harta pencarian dan simpanan menjadi bersih. Bersih dari sesuatu yang haram dimiliki, iaitu hak-hak orang lain yang telah diwajibkan kita mengeluarkannya, serta hasil pencarian dan pendapatan tersebut akan diberkati Allah.

Dari segi Syarak:
Zakat bermakna mengeluarkan sebahagian harta atau hak milik kepada mereka yang layak menerimanya dengan kadar tertentu setelah mencukupi nisabnya dan sampai masanya satu tahun atau setelah sempurna menuai (bagi tanam-tanaman)


Jenis-jenis dan syarat-syarat mengeluarkan zakat:

Zakat tergolong kepada dua jenis:
  • Zakat "Badaniah" iaitu zakat tubuh badan atau zakat fitrah.
  • Zakat "maliah" iaitu zakat harta benda seperti wang, perniagaan, binatang ternakan dan sebagainya.
Zakat Fitrah:

Jenis zakat ini ialah zakat badan yang diwajibkan  sempena berakhirnya bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditentukan.

Syarat Wajib Zakat Fitrah:
  1. Islam (yang bukan Islam tidak diwajibkan berzakat)
  2. Merdeka (hamba tidak wajib mengeluarkan zakat)
  3. Mempunyai harta lebih daripada keperluan untuk diri dan tanggungan pada hari raya dan malamnya.
Secara kesimpulannya, waktu dan hukum membayar zakat fitrah adalah seperti berikut:

1. Dibolehkan            - Dari awal Ramadan sehingga hari akhir bulan Ramadan.
2. Wajib                     - Selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan.
3. Afdal                     - Selepas solat Suboh sehingga sebelum mengerjakan Solat sunat Aidilfitri.
4. Haram                   - Selepas solat sunat Hari raya Aidilfitri.

Kadar Bayaran Zakat Fitrah :
  1. Kadar bayaran mengikut cara asal ialah 1 gantang Baghdad makanan asasi sesuatu tempat seperti beras atau gandum.
  2. Mengikut sukatan / timbangan sebanyak 2.27 kilogram bersamaan nilai mengikut matawang semasa.Wallah hu 'alam.

Sumber : Indahnya Hidup Bersyariat

No comments:

Post a Comment